Piala Malaysia : Akhirnya....

INSIDEN pengurus Johor FC, Mohd Faizal Abdullah meluru ke arah pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed secara agresif hampir mencetus kekecohan namun sempat dihalang anggota polis bertugas sebaik berakhir aksi separuh akhir kedua antara Johor FC-Negeri Sembilan di Stadium JCorp, Pasir Gudang, kelmarin.

Beliau seolah-olah tidak dapat menerima hakikat skuad Lebah tewas 2-0 kepada juara bertahan, Negeri Sembilan sekali gus tersingkir 2-1 secara agregat bagaikan menyalahkan pengadil yang gagal mengawal perlawanan dengan baik.2.Setiausaha Johor FC, Mohd Tahir Hamdan bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut insiden itu sebaliknya mengaku kelab berkenaan bakal menerima hukuman FAM bukan sahaja sikap pengurus pasukan malah tindakan penyokong membaling botol ke dalam padang menyebabkan perlawanan terhenti hampir lima minit pada aksi babak kedua. Katanya, kalah dan menang adat permainan seharusnya tidak perlu ikut emosi yang boleh mencetus kekecohan sehingga mengundang masalah kepada pengurusan Johor FC yang memiliki imej selaku pasukan kelab terbaik dalam saingan Liga M.

“Kita akan membuat post-mortem berhubung insiden ini dan akan kaji dari semua aspek membabitkan pengurus pasukan, jurulatih dan pemain sebaik mesyuarat itu berakhir sama ada mengambil tindakan selanjutnya atau tidak. “Mengenai tindakan penyokong pula, saya akui tempat duduk begitu rapat dengan padang malah stadium di Pasir Gudang tidak memiliki trek.

Oleh itu perancangan bakal dibuat untuk Johor FC beraksi di Stadium Larkin, musim depan,” kata Mohd Tahir. Bagi jurulatih Johor FC, Azuan Zain jelas tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan menyebabkan skuad bimbingannya gagal ke final angkara tindakan Nagor Amir menghadiahkan sepakan penalti m-60. “Saya memang tidak puas hati mutu pengadil begitu rendah kualiti. Banyak insiden kekasaran berlaku di padang terhadap pemain Johor FC tidak diendahkan sebaliknya beri kelebihan kepada NS,” kata Azuan.

Piala Malaysia : Moral Pemain JFC Melonjak

SEREMBAN - Sebelum perlawanan, tiada siapa berani meramalkan peluang Johor FC untuk menewaskan juara bertahan, Negeri Sembilan yang beraksi di laman sendiri, kelmarin.

Apatah lagi skuad Rusa tampil dengan reputasi gah kerana belum kalah dalam saingan Piala Malaysia, sebaliknya Johor FC hanya menang sekali dalam 12 pertemuan terakhir berdepan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, ketika saingan memasuki minit ke-89 dan penonton menjangkakan keputusan seri, pemain gantian, Mohd. Ezaidy Khadar membuatkan 30,000 penyokong setia Hobin Jang Hobin tergamam, selepas bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.

Keputusan itu membuatkan jurulatih Johor FC, Azuan Zain tersenyum lebar, sambil mengakui dia tidak menyangka keputusan itu mampu dicapai oleh para pemainnya, sebaliknya hanya mensasarkan keputusan seri.

"Keputusan ini merupakan bonus buat Johor FC. Rahsia kejayaan kami pada malam ini kerana para pemain bekerja sebagai satu pasukan dan mendengar arahan yang saya berikan.

''Saya menggunakan formasi 3-4-3 ketika melakukan serangan dan bertukar ke formasi 4-5-1 apabila kehilangan bola.

"Saya gembira kerana pemain berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan,'' katanya.

Azuan, yang mengambil alih tugas jurulatih dari Ramlan Rashid pada Ogos lalu menambah, percaturan berani menurunkan tiga pemain yang masih belum cergas sepenuhnya, membuahkan hasil.

"Eddy Helmi Manan, Mohd. Khairul Ismail dan Mohd. Rashid Aya sebenarnya baru pulih daripada kecederaan, tetapi saya terpaksa mengambil risiko dan ia akhirnya membuahkan hasil, '' katanya.

Sekalipun menang, Azuan enggan memikirkan pentas final kerana baginya, masih ada 90 minit perlawanan yang perlu difikirkan di Pasir Gudang.

"Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan seorang pakar taktikal dan berpengalaman dalam mengharungi situasi sebegini.

"Cuma saya harapkan, para pemain agar tidak dibuai mimpi, kerana Negeri Sembilan masih berpeluang memusnahkan harapan kami ke Bukit Jalil, '' katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi esok di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada perlawanan separuh akhir kedua, esok.

Piala Malaysia : JFC vs N9

SEREMBAN - Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan berkata, semuanya tampak sempurna buat pasukannya, yang menguasai perlawanan ketika berdepan Johor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, kelmarin.

Namun, kesilapan penjaga gol pasukan tuan rumah, Sani Anuar Kamsani, yang gagal membaca tepat pergerakan bola, memberikan ruang kepada Johor FC mencuri satu gol untuk dibawa pulang ke Pasir Gudang.

''Inilah bola sepak, walaupun saya rasakan semua pemain sudah beraksi baik, kami akhirnya kalah.

''Kami tidak sepatutnya kalah. Namun, akibat satu kesilapan pada minit akhir, ia menghukum kami. Begitupun, saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana mereka telah memberikan yang terbaik, '' katanya, kelmarin.

Mohd. Ezaidy Khadar muncul wira Johor FC apabila jaringannya pada minit ke-89, memberikan skuad bertaraf kelab itu bekalan berharga pada aksi separuh akhir kedua, esok.

Begitupun, Wan Jamak belum panik sebaliknya optimis mereka akan bangkit pada perlawanan kedua di Stadium JCorp.

''Saya telah berpesan kepada pemain supaya jangan sesekali mudah berputus asa. Masih ada baki saingan 90 minit, apa yang penting kami perlu memburu gol awal di Pasir Gudang nanti, '' katanya.

Wan Jamak turut mempertahankan tindakannya meletakkan Ching Hong Aik di posisi hadapan, walaupun gagal bergandingan baik dengan Shahurain Abu Samah.

''Saya tiada pilihan, kami ada ramai penyerang muda yang berbakat, tetapi tiada pengalaman untuk beraksi pada peringkat seperti ini.

''Mahu tidak mahu, saya terpaksa meletakkan Hong Aik yang bertindak sebagai perancang di barisan hadapan, '' ujarnya.

Mengapa Perlu Membayar Yuran Lesen Memandu Setiap Tahun

Baru-baru ini, terdapat ramai pelanggan dari luar negara telah menggunakan perkidmatan yang saya sediakan kepada mereka. Antara pelanggan luar negara yang sering menggunakan perkhidmatan kami adalah dari negara jiran; Singapura.

Oleh kerana perkhidmatan yang saya sediakan memerlukan saya mendapatkan lesen memandu mereka, maka setelah beberapa kali saya melihat lesen memandu beberapa pelanggan, saya mula terfikir kenapa didalam lesen memandu mereka tidak terdapat tarikh tamat / luput lesen.

Saya mula bertanya kepada mereka. Dan saya tahu apa rasionalnya pemerintah di sana tidak mengenakan yuran tahunan terhadap lesen memandu.

Amalam disana sangat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah di sini, dimana setiap tahun meminta rakyatnya membayar yuran tahunan lesen memandu. Saya bukan mempertikaikan jumlah yuran tahunan yang dikenakan, tetapi ingin mempersoalkan mengapa perlu dikenakan yuran tahunan. Secara logiknya, apabila seseorang itu telah mendapat lesen memandu, mereka secara amnya telah layak untuk memandu kenderaan dijalan raya. Sekiranya tahun ini mereka telah layak untuk memandu, tahun hadapan sudah tentu lah mereka juga layak. Tahun-tahun berikutnya juga sama. Senang kata, memang layak sampai bila-bila selagi boleh memandu.

Apa yang JPJ lakukan setiap tahun hanyalah mendapatkan kutipan daripada pemegang lesen memandu secara membuta tuli. Pendek kata, siapa yang hendak memandu dijalanraya, lesennya perlu 'hidup'.

Berlaku di negeri Pahang, beberapa tahun yang lepas. Saya pernah melalui pengalaman dimana lesen memandu saya telah tamat tempoh dan secara kebetulan telah diminta untuk menunjukan lesen memandu didalam sebuah sekatan jalanraya. Kebetulan, lesen memandu saya telah tamat tempoh. Angota trafik tersebut ingin mengeluarkan saman. Dan saya tanya kenapa? Dia menjawab kerana lesen memandu telah tamat tempoh. :)

Saya katakan pada anggota polis trafik tersebut, walaupun lesen saya telah tamat tempoh, saya masih mampu memandu dengan baik dari JB ke Kuantan Pahang. Jadi kenapa saya perlu disaman. Sambil tersenyum sinis, anggota traffik tersebut berkata " saya menjalankan tugas" :)

Sinario yang berlaku di JPJ apabila kita ingin menghidupkan lesen memandu, mereka hanya meminta lesen yang lama (tanpa gambar dan yang ada gambar). Kalau kita membawa gambar terbaru, mereka akan issue pada kita lesen yang baru, juga mempunyai gambar. lesen yang lama akan digunting bahagian penjuru. Kalau tidak membawa gambar, mereka akan issue satu lesen baru yang tidak mempunyai gambar, dan lesen yang lama akan di gunting penjurunya.
Ops!! bayar rm30 dulu untuk setahun. :)

Tanpa ada re-assesment pun kena bayar rm30 ke??? Rasional ke?

Top Listed!!

Malang memang tidak berbau. Kalau berbau, sudah tentu semua orang cuba menjauhi dari malang tersebut. Cuma kadang-kadang terdapat juga malang yang memang 'berbau' atau baunya sengaja diada-adakan supaya malang tersebut menghampiri kita.

Mungkin ramai yang sudah tahu, dan ramai juga yang masih tidak tahu bahawa Pasir Gudang adalah salah sebuah kawasan yang tersenarai dikalangan 12 kawasan yang mencatatkan jumlah jenayah ragut yang tinggi. Dua belas bandar itu ialah Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Ampang Jaya, Klang, Selayang, Johor Bahru, Johor Baru Tengah, Pasir Gudang, George Town dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Jenayah ragut adalah antara jenayah yang sebenarnya boleh dielakan. Antara lain adalah mengelakan berjalan seorang diri dilorong-lorong yang sunyi, sekiranya menaiki motorsikal, elakan dari meletakan beg tangan (walaupun tak ada duit kat dalam..) di raga motorsikal, jangan menyandang beg tangan (yang nie, makcik sebelah rumah selalu buat..) disebelah kanan semasa membonceng motorsikal dan macam-macam perkara basic yang sepatutnya kita buat, tetapi kita tak buat. Dan inilah yang memberi ruang kepada peragut untuk mengambil kesempatan pada kita.

Seperti biasa, selepas kena ragut, sure kita akan marah-marah sambil mencarut kepada peragut sebab telah meragut kita, tapi sebenarnya kitalah yang membuka peluang kepada mereka. Peragut adalah pekerjaan mereka. Mana ada orang yang nak melakukan kerja yang susah. Sebab itulah mereka meragut sekiranya mereka berpeluang.

Selepas kena ragut, semuanya sudah terlambat. Jadi, sebelum kena ragut, pastikan kita tidak memberi peluang kepada mereka untuk meragut kita.

Patahkah Kata?

Sebenarnya terdapat begitu banyak pilihan yang pengguna boleh lakukan untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai sesebuah tempat. Dengan adanya teknologi maklumat, semua yang di inginkan begitu mudah diperolehi. Bak kata jiran sebelah rumah saya, maklumat di hujung jari.

Namun begitu, terdapat maklumat yang mungkin kita tidak perlukan semasa kita melakukan carian. Contohnya, sekiranya kita menggunakan enjin carian google.com atau yahoo.com, dengan menaip "Pasir Gudang", terdapat beribu-ribu tapak web yang mempunyai perkataan "Pasir Gudang" itu sendiri.

Oleh yang demikian, seseorang yang tinggal di Pasir Gudang kadangkala agak sukar untuk mencapai maklumat mengenai kawasan yang mereka tinggal.

Blog ini, adalah salah satu alternatif, yang dibangunkan untuk mengatasi masalah ini. Pengguna terutamanya yang berada dikawasan Pasir Gudang, dengan mudah akan memperolehi maklumat yang terperinci mengenai Pasir Gudang dan kawasan-kawasan yang termasuk didalam lingkungan Pasir Gudang.

Selain itu, dengan adanya blog ini, pengguna boleh mendekati dengan lebih dekat lagi komuniti setempat.

Kami mengharapkan, pengguna dapat berkongsi maklumat yang berfaedah dari blog ini. Kami juga mengalu-alukan sebarang teguran yang membina, buah fikiran, komen, komplen, dan sebaginya dari komuniti..