Piala Malaysia : Akhirnya....

INSIDEN pengurus Johor FC, Mohd Faizal Abdullah meluru ke arah pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed secara agresif hampir mencetus kekecohan namun sempat dihalang anggota polis bertugas sebaik berakhir aksi separuh akhir kedua antara Johor FC-Negeri Sembilan di Stadium JCorp, Pasir Gudang, kelmarin.

Beliau seolah-olah tidak dapat menerima hakikat skuad Lebah tewas 2-0 kepada juara bertahan, Negeri Sembilan sekali gus tersingkir 2-1 secara agregat bagaikan menyalahkan pengadil yang gagal mengawal perlawanan dengan baik.2.Setiausaha Johor FC, Mohd Tahir Hamdan bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut insiden itu sebaliknya mengaku kelab berkenaan bakal menerima hukuman FAM bukan sahaja sikap pengurus pasukan malah tindakan penyokong membaling botol ke dalam padang menyebabkan perlawanan terhenti hampir lima minit pada aksi babak kedua. Katanya, kalah dan menang adat permainan seharusnya tidak perlu ikut emosi yang boleh mencetus kekecohan sehingga mengundang masalah kepada pengurusan Johor FC yang memiliki imej selaku pasukan kelab terbaik dalam saingan Liga M.

“Kita akan membuat post-mortem berhubung insiden ini dan akan kaji dari semua aspek membabitkan pengurus pasukan, jurulatih dan pemain sebaik mesyuarat itu berakhir sama ada mengambil tindakan selanjutnya atau tidak. “Mengenai tindakan penyokong pula, saya akui tempat duduk begitu rapat dengan padang malah stadium di Pasir Gudang tidak memiliki trek.

Oleh itu perancangan bakal dibuat untuk Johor FC beraksi di Stadium Larkin, musim depan,” kata Mohd Tahir. Bagi jurulatih Johor FC, Azuan Zain jelas tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan menyebabkan skuad bimbingannya gagal ke final angkara tindakan Nagor Amir menghadiahkan sepakan penalti m-60. “Saya memang tidak puas hati mutu pengadil begitu rendah kualiti. Banyak insiden kekasaran berlaku di padang terhadap pemain Johor FC tidak diendahkan sebaliknya beri kelebihan kepada NS,” kata Azuan.